30 April 2009

Bahasa Rindu

dalam diam
aku cuba mencari
makna rindu
yang berpusar
dalam hati
dalam kolam diri

dalam sepi 
aku cuba mentafsir
setiap bisikan sayu
yang bergetar
membahasakan suatu rahsia
antara kata-kata
dan mesra

sebenarnya
tiada kata
yang dapat menghurai
erti rindu ini
bila keresahan 
yang tiba-tiba
merantai jiwa

maka jadilah aku
seperti pesalah
yang melarikan diri
dari penjara kebenaran

selamat tinggal
maaf!


ukm 060385
- bila rindu itu 
   datang lagi....

29 April 2009

Resah

begitulah sukarnya
mentafsirkan erti resah ini
tatkala ombak rindu
memukul pantai hati
kemudian pergi
meninggalkan cebisan duka
terdampar sepi 
di pasir kelam

dan 
ketika-ketikanya
ia datang lagi
sebelum sempat 
kuucapkan
selamat tinggal

begitulah 
resah ini 
tumbuh semahu-mahunya


komsis e
ukm bangi
ogos 84

28 April 2009

kepada malam

izinkan aku
mentafsir riak dan alun
di persisiran hati
bila gerak resah malam
sering menitipkan 
seberkas rindu yang sarat
untuk satu perjalanan yang panjang

malam yang bening
dengan perlahan dan mesra
kubuka pintu insaf
dan sujud padaNya

kepada malam
telah ku sirami
pohonan harapan
dengan titisan embun 
dan gerimis doa
yang basah....


madiha ns
110685


Catatan Pertama

Ini adalah himpunan puisi lama yang tiba-tiba mahu dicatatkan semula.... 
Begitu lama tidak menulis, terasa fikiran menjadi kaku dan lesu untuk meluahkan bait-bait puitis... Namun, aku cuba menghimpunkan kembali catatan kenangan ini... 
satu demi satu... 
untuk dikongsikan bersama teman-teman yang pernah singgah dalam perjalanan hidup...
ketika di alam persekolahan menengah  mahupun ketika belajar di universiti.... 
lebih dua puluh tahun yang lalu.

Catatan ini hanyalah sekadar untuk kalian!

Sekian, terima kasih.

madiha ns
280409