29 December 2009

Ruang ini bukan milik kita


tiada ruang khas buat kita
di sini
kita datang dengan pasti
dari satu ruang
ke satu ruang yang lain
sepi dan beku
pasti dan terasing

ruang ini bukan milik kita
kewujudannya adalah sementara
di sini
kita harus mengisi dan mencari
dengan yang perlu dan mesti
untuk dibawa beserta
bersama penghijrahan tak terancang

tiada ruang khas buat kita
dari sini
kita pergi dengan pasti
cuma yang perlu
kita patuh dan taat
kepada pemberi nikmat


februari 82

24 December 2009

Buat Kawan-kawan - Tingkatan 6 KHS '82/83


Saat itu biarpun telah lama kita tinggalkan, namun ada ketikanya aku begitu terasa untuk mangingati dan mengenangnya kembali. Bagai dedaun masa yang gugur satu persatu, usia meninggalkan kita.... menjadi diri untuk dewasa dan semakin dewasa untuk menjadi tua....

Zaman persekolahan yang telah melewati suku abad meninggalkan garis masa untuk aku mengutip kembali setiap titisan dan serpihan peristiwa yang masih lagi tersisa dalam ruang ingatan. Masa kita mengaji bersama. Masa kita berbincang dan mengulangkaji bersama. Masa kita menanam cita-cita bersama. Masa kita agak malu-malu untuk berbicara tentang apa-apa aja......

Di manakah kalian....

Kawan,
biarpun antara kita
terlalu jauh ruang pemisahnya
namun segala kenangan
dan ingatan yang ada
akan terus kekal abadi
di payungi zaman


Hasan
241209
4.00 pm

23 December 2009

Carilah


carilah
di denai jalanan ini
sebuah cinta
yang suci
anugerah Ilahi

carilah
di antara kesementaraan ini
semua yang perlu
dan mesti
untuk kehidupan abadi
di sisi Ilahi

carilah
kesempurnaan diri
bersama
keyakinan hati

carilah
semuanya
sebelum pintu hati
terkunci mati


madiha ns
ukm '84

Milik - Selepas Suatu Kehilangan


Sekian lama
hidup dirantai masa
semuanya terlepas
bertukar
ke tangan yang keras
menindas
kita pun kehilangan

Selepas bebas lepas
kita masih mencari
identiti sendiri
yang terbenam
dalam selut sejarah

Kadang-kadang kita lalai
untuk mengetuk pintu insaf
kita pun menjadi nanar
mengambil yang bukan milik
untuk membangun peribadi sendiri

Sebenarnya...
di manakah milik kita
yang dulu diperas
yang tak sempat kita rampas
selepas suatu kehilangan
yang parah!

Takdirkah ini
atau alpa diri?

Perjalanan baru bermula
penghijrahan belum berakhir..


181209/1Muharam1431

16 December 2009

Membingkis Salam Buat Teman

Agak lama tidak mencoret di ruang ini
sebarang kata-kata dan cerita
kerana deraan masa dan kerja

Sebentar tadi sahabat lama
mengutus berita
bertanya cerita
rasa rindu rasa gembira
bila suara terdengar di telinga
membangkit kenangan
ketika mengaji bersama.

Terima kasih sahabat
kerana berkongsi khabar
melalui ruang siber
yang mendekatkan masa silam kita
menjadi kenangan dan ingatan
yang kian segar.


Hasan,
161209
5.15 pm