14 May 2010

Catatan - Sempena Hari Ibu


DOA UNTUK IBU



Beberapa hari lalu seorang sahabat mengirimkan ke dalam kotak e-mail ku sekeping kad untuk hari ibu... Terima kasih, Din. Walaupun aku tidak lupa, sekurang-kurangnya ia menambahkan ingatan. Beberapa hari sebelumnya, anak perempuan bongsu ku memberikan sekeping kad untuk ibunya. Kad yang dihasilkannya sendiri, begitu menarik dan kreatif sekali.

Berbicara tentang ibu, tentu juga ayah tidak boleh dilupakan. Membesarkan seorang anak bukanlah satu kerja mudah. Apatah lagi untuk membesarkan tujuh orang anak yang pelbagai ragam dan perangai. Mungkin sebelum ini, ketika masih kecil hinggalah menempuh alam kedewasaan aku tidak dapat menilai dan memahami sepenuhnya betapa beratnya tanggungjawab, betapa besarnya rasa kasih sayang dan segala pengorbanan yang telah dicurahkan.

Namun kini, sebagai seorang anak yang telah menjadi seorang bapa, sesungguhnya semua perasaan dan situasi itu telah menambahkan lagi rasa insaf dan kesedaran dalam diri. Sesungguhnya..... Terima kasih, mak...

Dua puluh lima tahun dahulu, aku pernah menulis sebuah puisi sebagai catatan penghargaan dan ingatan itu....


Terima Kasih 1

ketika aku kecil dulu
kau katakan padaku
"nak, mahukah kau mewarisi
kerja kami... saban hari
mengusung tubuh mencari rezeki
di bawah terik matahari
dan sejuk embun pagi...."

masih aku ingat, ibu

juga pesan mu, ayah
"carilah kehidupan dengan
berjuang.. besar nanti
jadilah orang yang berbakti....
belalah hidup kita...."
aku turut kata ayah...

terima kasih, ibu
terima kasih, ayah
menara ini
menjadi bukti perjuangan
menara ini
adalah bukti pembelaan

terima kasih, ibu
terima kasih, ayah
kuingat katamu
kuturut pesanmu...


ukm, bangi
14 Mac 1985









07 May 2010

Satu Monolog - Bicara Dalam Sepi


i

ingin aku layarkan bahtera ini
ke tengah samudera terbentang luas
mencari dirimu di pulau kerinduan
dengan rela dan pasrah
biarpun yang bakal aku tempuh
badai ombak yang meraung-raung
mencabar diri dan penghidupan

ii

ingin aku bina kemesraan
dalam setiap bicara
dan tawa riangmu
yang menghiasi setiap jalinan pertemuan
mencorakkan warna
indah dan mempesonakan

ingin aku lambaikan
sebuah harapan kebahagiaan
meskipun aku tidak mampu
menjanjikan impian manis dan indah
kerana waktu seringkali menjadi penentu
pengatur gerak dan kesudahan

ingin aku kalungkan ke lehermu
sebuah kesetiaan
meskipun di subuh bening ini
ketika aku melihat ke dalam diri sendiri
suatu kesempurnaan yang lelah

iii

dik,
biar pun perjalanan ini masih jauh
dan kata-kata menjadi tidak pasti
relakanlah....
kerana esok tidak seperti hari ini
sebagaimana semalam
telah kita lalui

iv

semalam hanyalah seperti impian
esok hanyalah harapan
hari ini masih ada
menjadikan setiap semalam
sebuah impian kegembiraan
dan setiap esok
sebuah harapan penghidupan

24071988 - Bicara di pagi Aidil Adha