i
ingin aku layarkan bahtera ini
ke tengah samudera terbentang luas
mencari dirimu di pulau kerinduan
dengan rela dan pasrah
biarpun yang bakal aku tempuh
badai ombak yang meraung-raung
mencabar diri dan penghidupan
ii
ingin aku bina kemesraan
dalam setiap bicara
dan tawa riangmu
yang menghiasi setiap jalinan pertemuan
mencorakkan warna
indah dan mempesonakan
ingin aku lambaikan
sebuah harapan kebahagiaan
meskipun aku tidak mampu
menjanjikan impian manis dan indah
kerana waktu seringkali menjadi penentu
pengatur gerak dan kesudahan
ingin aku kalungkan ke lehermu
sebuah kesetiaan
meskipun di subuh bening ini
ketika aku melihat ke dalam diri sendiri
suatu kesempurnaan yang lelah
iii
dik,
biar pun perjalanan ini masih jauh
dan kata-kata menjadi tidak pasti
relakanlah....
kerana esok tidak seperti hari ini
sebagaimana semalam
telah kita lalui
iv
semalam hanyalah seperti impian
esok hanyalah harapan
hari ini masih ada
menjadikan setiap semalam
sebuah impian kegembiraan
dan setiap esok
sebuah harapan penghidupan
24071988 - Bicara di pagi Aidil Adha
No comments:
Post a Comment