29 December 2009

Ruang ini bukan milik kita


tiada ruang khas buat kita
di sini
kita datang dengan pasti
dari satu ruang
ke satu ruang yang lain
sepi dan beku
pasti dan terasing

ruang ini bukan milik kita
kewujudannya adalah sementara
di sini
kita harus mengisi dan mencari
dengan yang perlu dan mesti
untuk dibawa beserta
bersama penghijrahan tak terancang

tiada ruang khas buat kita
dari sini
kita pergi dengan pasti
cuma yang perlu
kita patuh dan taat
kepada pemberi nikmat


februari 82

24 December 2009

Buat Kawan-kawan - Tingkatan 6 KHS '82/83


Saat itu biarpun telah lama kita tinggalkan, namun ada ketikanya aku begitu terasa untuk mangingati dan mengenangnya kembali. Bagai dedaun masa yang gugur satu persatu, usia meninggalkan kita.... menjadi diri untuk dewasa dan semakin dewasa untuk menjadi tua....

Zaman persekolahan yang telah melewati suku abad meninggalkan garis masa untuk aku mengutip kembali setiap titisan dan serpihan peristiwa yang masih lagi tersisa dalam ruang ingatan. Masa kita mengaji bersama. Masa kita berbincang dan mengulangkaji bersama. Masa kita menanam cita-cita bersama. Masa kita agak malu-malu untuk berbicara tentang apa-apa aja......

Di manakah kalian....

Kawan,
biarpun antara kita
terlalu jauh ruang pemisahnya
namun segala kenangan
dan ingatan yang ada
akan terus kekal abadi
di payungi zaman


Hasan
241209
4.00 pm

23 December 2009

Carilah


carilah
di denai jalanan ini
sebuah cinta
yang suci
anugerah Ilahi

carilah
di antara kesementaraan ini
semua yang perlu
dan mesti
untuk kehidupan abadi
di sisi Ilahi

carilah
kesempurnaan diri
bersama
keyakinan hati

carilah
semuanya
sebelum pintu hati
terkunci mati


madiha ns
ukm '84

Milik - Selepas Suatu Kehilangan


Sekian lama
hidup dirantai masa
semuanya terlepas
bertukar
ke tangan yang keras
menindas
kita pun kehilangan

Selepas bebas lepas
kita masih mencari
identiti sendiri
yang terbenam
dalam selut sejarah

Kadang-kadang kita lalai
untuk mengetuk pintu insaf
kita pun menjadi nanar
mengambil yang bukan milik
untuk membangun peribadi sendiri

Sebenarnya...
di manakah milik kita
yang dulu diperas
yang tak sempat kita rampas
selepas suatu kehilangan
yang parah!

Takdirkah ini
atau alpa diri?

Perjalanan baru bermula
penghijrahan belum berakhir..


181209/1Muharam1431

16 December 2009

Membingkis Salam Buat Teman

Agak lama tidak mencoret di ruang ini
sebarang kata-kata dan cerita
kerana deraan masa dan kerja

Sebentar tadi sahabat lama
mengutus berita
bertanya cerita
rasa rindu rasa gembira
bila suara terdengar di telinga
membangkit kenangan
ketika mengaji bersama.

Terima kasih sahabat
kerana berkongsi khabar
melalui ruang siber
yang mendekatkan masa silam kita
menjadi kenangan dan ingatan
yang kian segar.


Hasan,
161209
5.15 pm

06 October 2009

catatan dinihari

setelah lama
tidak mencoret
walau sebait puisi.....

malam dinihari ini
aku cuba untuk membingkis
secebis nota
sambil mengutip
juraian-juraian kenangan
dalam nostalgia diri
yang sepi

apakah masih ada
catatan yang tertinggal
untuk ku tatap
untuk kujadikan ubat
bagi membina hati
yang kian resah

18062003

05 October 2009

Catatan

* sesuatu yang indah dan yang terbesar yang dapat
kita berikan kepada seseorang yang kita sayangi
ialah perkara yang dapat dimanfaatkannya.

* betapa pun kita tidak dapat memisahkan diri
dengan tradisi yang membelenggui hidup ini, namun
tiada siapa yang dapat memisahkan peraturan hati
kita, biar sejauh mana jarak memisahkan kita, biar
biar selama mana masa melarikan kita.

* buat apa pertemuan itu, kalau akhirnya hanya
menebalkan kenangan demi kenangan masa silam.

* kita hidup bukan untuk selama-lamanya, sekejap
cuma.... jangan jadikan kehidupan itu gelap dan
samar... ingatlah satu waktu kita akan kembali juga...
kita akan berhijrah... itulah hijrah yang sebaiknya...
ingat semuanya!!! tidak ada kekuatan selain dariNya...
....... belajarlah mengenal erti perjuangan yang
sebenarnya kerana belajar itulah yang paling baik
dari hanya menjadi pengikut...

01 October 2009

Kenangan Lalu

Masa berlalu
terasa begitu pantas
semua masih menjadi ingatan
semua tinggal menjadi kenangan.

Buat teman-teman,
salam ingatan
yang tulus dan segar.

Hasan
1 Okt. 2009.

08 July 2009

Mimpi Seorang Lelaki



Yang aku mimpikan adalah
seorang perempuan
yang ku panggil kekasih
akan ku jadikan hawa
untuk menghuni istana hati

yang aku mimpikan adalah
seorang isteri yang penyayang
menjadi penawar dalam keresahan
menghias hidupku dengan senyuman
penuh sopan membelai kemesraan

yang aku mimpikan adalah
seorang perempuan
yang akan menjadi ibu
kepada anak-anak yang bakal kau lahirkan

yang aku mimpikan adalah
anak-anak yang memberi harapan
keluarga yang membahagiakan.


21091988
11.30 pm

03 June 2009

Kawan Lama

Isnin - 1 Jun 2009 - seorang sahabat lama semasa belajar di Sekolah Menengah Tinggi Kajang (KHS - 1977 - 1983) menghubungi aku melalui emel - selepas menemui nama ku dalam Facebook..
  
Tulisnya.... Kabare wak? Lama sgt tak dengar berita. Dah kayorayo sgt kot?

Aku hanya senyum sendiri.... kerana aku masih macam dulu..... belum kayorayo lagi!!

Rabu - 3 Jun 2009 - aku menghubungi kawan lama melalui nombor telefon yang disertakannya.
Masih seperti dulu... walau dari kejauhan... suaranya tetap ceria dan mesra....

Terima kasih, kerana menghubungi aku.

Hasan Suratman


26 May 2009

Catatan Ingatan (di hari lahirmu)


ketika ingatan
menyusuri pantai kenangan
ku dengar debur suaramu
bagai ombak yang menggetarkan
lagu rindu musim lalu
menikam ruang hati
dan sukma

izinkan aku
untuk terus mengingati
cintamu yang segar
dalam kerinduan
dan pasrah

dik, 
hari ini
yang mampu ku hulurkan
hanyalah sejambak doa
seharum mawar di halaman hati
yang ku sunting
pada kejauhan malam 
bahagialah!
semoga hari esok mu
secerah pagi
disinari mentari
di ufuk timur

terima kasih
semakin aku menjadi dewasa
dengan cintamu..


20021989


18 May 2009

Buat Sebuah Nama


dalam diam
ku dudukkan nama mu
di atas tahta hati ku

ada harapan manis
tersulam pada tirai waktu
ia adalah gubahan cinta
yang kembali ke dalam diri

keindahan ini
agong dan suci
suci dan abadi


madiha ns
april 1988

12 May 2009

Kehadiran

sekilas
kau hadir semula
merapati ruang sepi ku
nama yang lama
tidak diucap
wajah yang lama
tidak dilihat
(tapi sering dalam ingatan)
menggetarkan darah
dan salur nadi


11061988

07 May 2009

fragmen - seorang gadis yang ku temui di daerah ini

sewaktu aku memandangmu
kau masih lagi termenung
menatap hari yang pergi
sambil mengutip kenangan
yang bertabur di sisi usia 
 
kau pun menjadi perahsia
pada duka resah
dan nyanyi sepi masa lalu
yang singgah dalam kembaramu
melingkari kesetiaan 
yang padu

perlukah titisan airmata
yang membasahi pipi
mengalir lagi
di ufuk bening matamu
meratapi pilu pencarian diri
yang terpahat dalam imbauan waktu

di bawah sendu ini
akan tertitis warna suci
senyumlah kembali
sambil menenun harapan
dari tujuh taman
cabaran mengajar kesabaran
teguh menentang lelah duka

seorang gadis
di sisimu nanti
akan bersimpuh 
segenggam bahagia
tatkala senja duka
melayang pergi....


upm, april '84
 - di kala sepi itu
    datang lagi.

06 May 2009

Mawar merah dan seorang gadis

di rembang senja itu
sekuntum mawar
mekar di sudut taman
indah mengharum
segar dan membara

mawar yang kembang
memang sudah ditentukan
untuk menular
dan terus menular
di kejauhan malam
bagai bunga-bunga di syurga
harum dan suci
siapakah yang bakal
memetiknya?

tika kelopak bertatah embun
dalam kemilau cahaya lembut
sekuntum mawar merah
lantas dipetik
oleh jari-jari halus
seorang perempuan
dikucup dan dibelai
dengan penuh keinsafan
dalam dirinya.....


madiha ns 
mei '84

05 May 2009

Puisi Diri

Bermusim usia mengalir
di sungai waktu
deras menjauh
merempuh zaman

Telah ku lalui
liku dan lembah
telah ku terjuni
gaung dan lurah
terhampar dan mencabar
ku mudiki arus pengalaman
sesekali terdampar
di tebing kehidupan
lalu kenal diri

Semusim di sini
ku hirup udara
siangnya menyesakan
malamnya sepi mengasingkan
yang pahit dan manis
terakam dalam pita waktu
membentuk tugu keinsafan
dewasakah diri?

Terima kasih, Tuhanku
membenarkan aku
mencipta peribadi!



UKM, 18 Mac 1985

04 May 2009

Kenangan

di pantai ini
ingatkah kau 
pada pertemuan 
yang bersatu
di hujung ombak 
yang mengusap
hujung jarimu

di pantai ini
rindukah kau
pada bisikan ombak
mengalunkan iramanya
penuh syahdu
penuh rayu
kepada kekasihnya
pantai

atau
ingatkah kau
pada kesetiaan pantai
saban waktu menunggu
kehadiran ombak
meskipun pada ketikanya
ombak begitu angkuh
menyapa cintanya

begitulah
pada suatu senja
aku menantimu
di pantai ini
untuk mengumpul
kembali kenangan
tetapi
engkau sudah pun pergi
bersama ombak
bersama angin
yang dingin

- suatu ingatan, suatu kenangan
    - bahawa impian itu 
       akan hilang 
       dengan kehadiran siang


ukm - 11031985.

02 May 2009

Dari Jendela Menungan

telah ku siapkan 
satu daerah dalam hidup ini
untuk kau bertamu
dalam pertemuan penuh erti
membangunkan sebuah cinta
bertahtakan permata bahagia

telah ku hamparkan
permaidani merah
bersulam sutera ungu
untuk kau lalui
menuju dan mengetuk
pintu hatiku
yang telah ku buka dengan rela

telah ku jalinkan
seutas rantai kasih
bakal ku kalungkan
ke lehermu
biar kau tahu
betapa rindu itu
menjadi teman penantian
yang amat menyeksakan

telah ku ukirkan
sebutir delima cinta
untuk ku sarungkan
ke jari manismu
biar kau mengerti
betapa hati ini
amat menyayangimu

buatmu, dik..
sejambak puisi
ku sunting dari serimbunan doa
yang mewangi....


madiha ns
07081988
10.45 malam

01 May 2009

Ayam Mengeram


















Ayam yang sedang mengeramkan telurnya 
di dalam pasu bunga....

Mac 2009








30 April 2009

Bahasa Rindu

dalam diam
aku cuba mencari
makna rindu
yang berpusar
dalam hati
dalam kolam diri

dalam sepi 
aku cuba mentafsir
setiap bisikan sayu
yang bergetar
membahasakan suatu rahsia
antara kata-kata
dan mesra

sebenarnya
tiada kata
yang dapat menghurai
erti rindu ini
bila keresahan 
yang tiba-tiba
merantai jiwa

maka jadilah aku
seperti pesalah
yang melarikan diri
dari penjara kebenaran

selamat tinggal
maaf!


ukm 060385
- bila rindu itu 
   datang lagi....

29 April 2009

Resah

begitulah sukarnya
mentafsirkan erti resah ini
tatkala ombak rindu
memukul pantai hati
kemudian pergi
meninggalkan cebisan duka
terdampar sepi 
di pasir kelam

dan 
ketika-ketikanya
ia datang lagi
sebelum sempat 
kuucapkan
selamat tinggal

begitulah 
resah ini 
tumbuh semahu-mahunya


komsis e
ukm bangi
ogos 84

28 April 2009

kepada malam

izinkan aku
mentafsir riak dan alun
di persisiran hati
bila gerak resah malam
sering menitipkan 
seberkas rindu yang sarat
untuk satu perjalanan yang panjang

malam yang bening
dengan perlahan dan mesra
kubuka pintu insaf
dan sujud padaNya

kepada malam
telah ku sirami
pohonan harapan
dengan titisan embun 
dan gerimis doa
yang basah....


madiha ns
110685


Catatan Pertama

Ini adalah himpunan puisi lama yang tiba-tiba mahu dicatatkan semula.... 
Begitu lama tidak menulis, terasa fikiran menjadi kaku dan lesu untuk meluahkan bait-bait puitis... Namun, aku cuba menghimpunkan kembali catatan kenangan ini... 
satu demi satu... 
untuk dikongsikan bersama teman-teman yang pernah singgah dalam perjalanan hidup...
ketika di alam persekolahan menengah  mahupun ketika belajar di universiti.... 
lebih dua puluh tahun yang lalu.

Catatan ini hanyalah sekadar untuk kalian!

Sekian, terima kasih.

madiha ns
280409